player of the year

Rabu, 3 Disember 2008

Ronaldo terbaik di pentas Eropah

GAMBAR kombo ini (dari kiri) merakamkan detik ketika Ronaldo meraih anugerah selaku Pemain Terbaik Dunia FIFPro, Pemain Terbaik Kelab Eropah dan Kasut Emas Eropah.


PARIS: Pemain sayap Manchester United dan Portugal, Cristiano Ronaldo dianugerahkan Ballon d’Or selepas membantu kelab gergasi Inggeris itu memenangi Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah tahun ini.

Penyerang Barcelona, Lionel Messi menduduki tempat kedua dan penyerang Liverpool, Fernando Torres di tangga ketiga selepas undian yang dijalankan 96 wartawan sukan dari serata dunia serta dianjurkan Persekutuan Bola Sepak Perancis itu, kata laman web (www.francefootball.fr).

Ronaldo beroleh 446 mata manakala Messi (281) dan Torres (179).

“Ia antara hari paling indah dalam hidup saya. Saya impikan anugerah ini sejak kecil,” kata Ronaldo yang akan menerima anugerah itu secara rasmi dalam majlis yang bakal disiarkan menerusi televisyen Perancis.




Ronaldo adalah pemain Portugal ketiga memenangi anugerah itu selepas Eusebio memenanginya pada 1965 dan Luis Figo pada 2000.


“Saya tidak bimbang jika tidak dipilih memenangi anugerah itu kerana saya sedar apa yang telah saya sumbangkan musim lalu,” kata Ronaldo. “Terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang membantu saya mencapai tahap terbaik dan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada aksi saya ketika ini.

“Saya sedang menumpukan kepada usaha memperbaiki permainan. Pagi ini ketika saya tiba di padang latihan, saya tetap individu yang serupa. Apa yang pasti, saya mahu memenangi anugerah ini sekali lagi pada masa akan datang.”

Ronaldo, 23, mengikut jejak bekas bintang United, Denis Law (1964), Bobby Charlton (1966) dan George Best (1968) yang pernah memenangi anugerah dulunya dikenali sebagai Pemain Terbaik Eropah itu. Ronaldo menjaringkan 42 gol bersama kelabnya musim lalu.

Awal tahun ini, dia muncul sebagai pemain kedua yang memenangi anugerah Pemain Terbaik England dua kali berturut-turut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

KOMEN LA APA PATUT